Saturday 23 June 2012

...Aku Bukan Pengemis..

Seorang pemuda masuk ke dalam sebuah restoran, lalu memesan makanan. Tidak lama kemudian, pelayan restoran pun menghantarkan pesanannya. Ketika pemuda itu hendak menikmati makanannya, datanglah seorang  kanak-kanak lelaki menjajakan kuih padanya, "Bang..mahu beli kuih, bang ?" Dengan ramah pemuda yang sedang makan itu menjawab "Tidak, saya sedang makan". 

kanak-kanak tersebut tidak berputus asa dengan cubaan pertama. Dia menunggu sehingga pemuda itu selesai menjamu selera, lalu ditawarkan lagi kuih dagangannya, "Bang, mahu beli kuih, bang ?" tawarnya.  Lalu pemuda tersebut menjawab, "Tidak dik, saya sudah kenyang." 

Kemudian pemuda itu berjalan menuju kaunter untuk membuat bayaran dan beranjak pergi dari restoran tersebut. Si anak kecil penjaja kuih itu terus mengikuti pemuda tadi. Sudah hampir seharian dia menjajakan kuih buatan ibunya. Namun tiada lagi pembeli. Walaupun demikian dia tidak mahu berputus asa, dan terus cuba menawarkan kuih pada pemuda itu. Dia hanya mahu membantu ibunya, menyambung kehidupan mereka yang serba berkekurangan. Jika dia pulang tanpa hasil jualan, pasti ibunya kan berasa sedih.

Melihat pemuda itu keluar dari restora, anak kecil penjaja kuih itu menawarkan kuih dagangannya untuk kali yang ketiga, "Bang mahu beli kuih saya ?". Kali ini pemuda itu merasa serba salah untuk menolak. Lalu, dia mengeluarkan not RM 10 dari dompetnya dan diberikan pada anak kecil itu sebagai sedekah. Katanya, "Adik ambil duit ni, abang tak nak beli kuih, jadi anggap saja ini sedekah dari abang untuk adik ye..”

Anak kecil itu menerima wang pemberian pemuda tadi dan  memberikannya kepada seorang pengemis yang sedang meminta minta. Pemuda tadi merasa hairan dengan tindakan anak kecil itu lalu bertanya “kenapa adik berikan duit tu pada pada pengemis? duit tu abang bagi untuk adik…”

Anak kecil penjaja kuih senyum dan menjawab, "Saya sudah berjanji pada ibu untuk menjualkan kuih buatan ibu, bukan menjadi pengemis. Saya akan berasa bangga pulang ke rumah bertemu ibu kalau kuih buatan ibu habis terjual. Dan wang yang akan saya berikan kepada ibu nanti adalah hasil usaha jualan kuih.sebab ibu tidak suka saya menjadi pengemis". 

Pemuda itu kagum dengan kata-kata yang diucapkan oleh kanak-kanak itu, sungguh berbeza dengan kanak-kanak seusianya.  Akhirnya pemuda tersebut telah membeli semua kuih dagangan kanak-kanak tersebut. Bukan kerana simpati, tapi kerana prinsip yang dimiliki oleh anak itu. Biarpun dia masih kecil tapi tidak berputus asa dan tidak mengambil jalan mudah dengan meminta-minta. 


No comments:

Post a Comment