Tuesday 6 November 2012

Pelayan Sang Raja..

Di dalam sebuah kerajaan yang terpimpin dan teratur dengan baik, terdapat 3 orang pelayan yang sangat masyhur. Mereka terkenal kerana sangat disayangi oleh sang raja. Pada suatu pagi, sang raja memanggil ketiga-tiga pelayannya itu. Sang raja memerintahkan mereka mendapatkan guni kemudian meminta mereka memenuhkan guni tersebut dengan buah-buahan yang paling baik, tanpa memberi apa-apa penjelasan atas perintah itu. Maka setiap dari mereka pun pergi pada kebun masing-masing untuk menjalankan perintah sang raja.

Pelayan yang pertama, sangat serious dengan arahan sang raja. Oleh itu, dia cuba memenuhi guni tersebut dengan buah-buahan yang paling baik di kebunnya. Dia mengisi guni itu dengan buah-buah yang manis rasanya, segar dan berkualiti tinggi. Dia berharap dengan itu raja akan bertambah sayang padanya. Pelayan kedua pula, tidak berapa serious dengan arahan raja tersebut. Dia merasa tugasan itu tidak seberapa penting. Walaupun begitu, dia takut jika sang raja akan marah kepadanya. Oleh yang demikian dia mengisi guni tersebut denga dua keadaan. Dimana yang paling bawah dia isi buah-buah yang telah rosak, manakala yang seterusnya dia isi dengan buah-buahan yang baik. Dia merasa sang raja tidak akan mengetahui perkara tersebut dan tidak akan marah kepadanya. Pelayan ketiga pula merasa arahan sang raja itu langsung tidak penting, akan tetapi dia masih ada rasa takut di hukum oleh sang raja sekiranya membawa pulang guni yang kosong. oleh itu, dia memenuhkan guni kepunyaannya dengan rumput-rumput dari kebun miliknya. Dia menyangka sang raja tidak akan mengetahui hal itu.

Setelah menyelesaikan tugasan sang raja tadi, ketiga-tiga mereka pulang membawa guni yang penuh menuju istana untuk berjumpa sang raja. Sesampainya mereka di istana, raja memrintahkan agar mereka bertiga di masukkan ke dalam penjara selama sebulan tanpa diberi makan. Alangkah terkejutnya mereka mendengar perintah itu. Rupa-rupanya tugasan syang diberikan sang raja itu adalah untuk menguji kesetiaan mereka. Pelayan pertama tidak merasa bimbang kerana dia mempunyai bekalan yang cukup untuk bertahan disebabkan guni kepunyaanya berisi buah-buahan yang baik. Manakala pelayan kedua merasa susah hati, kerana guninya hanya sebahagian sahaja yang baik dan sebahagian lagi adalah buah-buah yang rosak. Pelayan ke tiga pula merasa amat bimbang, kerana guninya hanyalah berisi rumput-rumput hijau yang tidak mengenyangkan.

Sebulan telah berlalu, ketiga-tiga mereka kemudiannya dibebaskan dari penjara. Pelayan pertama keluar dengan keadaan yang sihat kerana mempunyai bekalan yang cukup. Dia amat beruntung dan berasa gembira kerana menjalankan arahan raja dengan baik. Pelayan ke dua pula keluar dengan badan yang amat lemah sehinggakan dia tidak mampu untuk berdiri lagi, dia merasa amat menyesal kerana tidak megambil berat akan tugasan yang diberi oleh sang raja yang selama ini menyayanginya. Manakala pelayan ke tiga tidak mampu bertahan lama hingga akhirnya dia mati di dalam penjara. Oleh kerana dia hanya mempunyai bekalan rumput-rumput hijau yang tidak berguna dan membantunya untuk terus hidup. Nasib pelayan ketiga ini teramatlah malang kerana mengabaikan arahan sang raja yang turut menyayanginya selama ini.

Hikmah dari cerita ini...

Sebenarnya cerita ini hanyalah sebuah perumpaan, diibaratkan sang raja yang menyayangi ketiga pelayan itu adalah Allah, pelayan pertama adalah orang yang beriman, pelayan ke dua adalah orang yang berada dipertengahan antara beriman dan kafir, manakala pelayang yang ke tiga adalah orang kafir. Tempoh pencarian buah untuk diisi dalam guni adalah dunia yang sementara manakala tempoh di dalam penjara adalah perumpamaan di dalam kubur. Betapa sayangnya Allah pada kita, ketika disuruh mencari “buah-buah” amal semasa di dunia ini. Bukankah Allah menciptakan setiap manusia itu untuk beribadah? seperti mana yang dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud : “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku”. (adz zariat: 56) 

Bagi mereka yang sudah menyiapkan amal-amal baik di dunia, dengan penuh keikhlasan kerana Allah SWT,  maka sudah tentu tidak akan mengalami kesusahan dalam tempoh waktu di kuburnya. Sementara orang-orang kafir yang ingkar  akan mengalami keperitan dalam kuburnya. Firman Allah yang bermaksud :  “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan penolongmu kaum yang dimurkai Allah, sesungguhnya mereka telah putus asa terhadap negeri akhirat sebagaimana orang-orang kafir yang telah berada dalam kubur berputus asa.” (Al Mumtahanah: 13) 

Iktibarn dari kisah ini kembali kepada kita.. Sebanyak manakah “buah-buah” amal yang telah kita kumpulkan/persiapkan untuk menghadapi  alam kubur? Adakah kita telah menyiapkan buah-buah yang terbaik? Atau separuhnya saja yang baik? Atau malah hanya rumput-rumput hijau yang tak bermanfaat untuk kita?? 

Sama-samalah kita fikir-fikirkan dan perbaiki diri kita menjadi lebih baik setiap hari. Semoga segala amalan kita di dunia ini dapat menjadi bekalan yang menjamin kebahagiaan akhirat. Amin..

No comments:

Post a Comment