Tuesday 6 November 2012

Pelayan Sang Raja..

Di dalam sebuah kerajaan yang terpimpin dan teratur dengan baik, terdapat 3 orang pelayan yang sangat masyhur. Mereka terkenal kerana sangat disayangi oleh sang raja. Pada suatu pagi, sang raja memanggil ketiga-tiga pelayannya itu. Sang raja memerintahkan mereka mendapatkan guni kemudian meminta mereka memenuhkan guni tersebut dengan buah-buahan yang paling baik, tanpa memberi apa-apa penjelasan atas perintah itu. Maka setiap dari mereka pun pergi pada kebun masing-masing untuk menjalankan perintah sang raja.

Pelayan yang pertama, sangat serious dengan arahan sang raja. Oleh itu, dia cuba memenuhi guni tersebut dengan buah-buahan yang paling baik di kebunnya. Dia mengisi guni itu dengan buah-buah yang manis rasanya, segar dan berkualiti tinggi. Dia berharap dengan itu raja akan bertambah sayang padanya. Pelayan kedua pula, tidak berapa serious dengan arahan raja tersebut. Dia merasa tugasan itu tidak seberapa penting. Walaupun begitu, dia takut jika sang raja akan marah kepadanya. Oleh yang demikian dia mengisi guni tersebut denga dua keadaan. Dimana yang paling bawah dia isi buah-buah yang telah rosak, manakala yang seterusnya dia isi dengan buah-buahan yang baik. Dia merasa sang raja tidak akan mengetahui perkara tersebut dan tidak akan marah kepadanya. Pelayan ketiga pula merasa arahan sang raja itu langsung tidak penting, akan tetapi dia masih ada rasa takut di hukum oleh sang raja sekiranya membawa pulang guni yang kosong. oleh itu, dia memenuhkan guni kepunyaannya dengan rumput-rumput dari kebun miliknya. Dia menyangka sang raja tidak akan mengetahui hal itu.

Setelah menyelesaikan tugasan sang raja tadi, ketiga-tiga mereka pulang membawa guni yang penuh menuju istana untuk berjumpa sang raja. Sesampainya mereka di istana, raja memrintahkan agar mereka bertiga di masukkan ke dalam penjara selama sebulan tanpa diberi makan. Alangkah terkejutnya mereka mendengar perintah itu. Rupa-rupanya tugasan syang diberikan sang raja itu adalah untuk menguji kesetiaan mereka. Pelayan pertama tidak merasa bimbang kerana dia mempunyai bekalan yang cukup untuk bertahan disebabkan guni kepunyaanya berisi buah-buahan yang baik. Manakala pelayan kedua merasa susah hati, kerana guninya hanya sebahagian sahaja yang baik dan sebahagian lagi adalah buah-buah yang rosak. Pelayan ke tiga pula merasa amat bimbang, kerana guninya hanyalah berisi rumput-rumput hijau yang tidak mengenyangkan.

Sebulan telah berlalu, ketiga-tiga mereka kemudiannya dibebaskan dari penjara. Pelayan pertama keluar dengan keadaan yang sihat kerana mempunyai bekalan yang cukup. Dia amat beruntung dan berasa gembira kerana menjalankan arahan raja dengan baik. Pelayan ke dua pula keluar dengan badan yang amat lemah sehinggakan dia tidak mampu untuk berdiri lagi, dia merasa amat menyesal kerana tidak megambil berat akan tugasan yang diberi oleh sang raja yang selama ini menyayanginya. Manakala pelayan ke tiga tidak mampu bertahan lama hingga akhirnya dia mati di dalam penjara. Oleh kerana dia hanya mempunyai bekalan rumput-rumput hijau yang tidak berguna dan membantunya untuk terus hidup. Nasib pelayan ketiga ini teramatlah malang kerana mengabaikan arahan sang raja yang turut menyayanginya selama ini.

Hikmah dari cerita ini...

Sebenarnya cerita ini hanyalah sebuah perumpaan, diibaratkan sang raja yang menyayangi ketiga pelayan itu adalah Allah, pelayan pertama adalah orang yang beriman, pelayan ke dua adalah orang yang berada dipertengahan antara beriman dan kafir, manakala pelayang yang ke tiga adalah orang kafir. Tempoh pencarian buah untuk diisi dalam guni adalah dunia yang sementara manakala tempoh di dalam penjara adalah perumpamaan di dalam kubur. Betapa sayangnya Allah pada kita, ketika disuruh mencari “buah-buah” amal semasa di dunia ini. Bukankah Allah menciptakan setiap manusia itu untuk beribadah? seperti mana yang dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud : “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku”. (adz zariat: 56) 

Bagi mereka yang sudah menyiapkan amal-amal baik di dunia, dengan penuh keikhlasan kerana Allah SWT,  maka sudah tentu tidak akan mengalami kesusahan dalam tempoh waktu di kuburnya. Sementara orang-orang kafir yang ingkar  akan mengalami keperitan dalam kuburnya. Firman Allah yang bermaksud :  “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan penolongmu kaum yang dimurkai Allah, sesungguhnya mereka telah putus asa terhadap negeri akhirat sebagaimana orang-orang kafir yang telah berada dalam kubur berputus asa.” (Al Mumtahanah: 13) 

Iktibarn dari kisah ini kembali kepada kita.. Sebanyak manakah “buah-buah” amal yang telah kita kumpulkan/persiapkan untuk menghadapi  alam kubur? Adakah kita telah menyiapkan buah-buah yang terbaik? Atau separuhnya saja yang baik? Atau malah hanya rumput-rumput hijau yang tak bermanfaat untuk kita?? 

Sama-samalah kita fikir-fikirkan dan perbaiki diri kita menjadi lebih baik setiap hari. Semoga segala amalan kita di dunia ini dapat menjadi bekalan yang menjamin kebahagiaan akhirat. Amin..

Monday 30 July 2012

..ku mahu redhaMu..

ya Allah kerana redhaMu..
ku pasarah melepaskan hasratku..
kerana mahukan syurgaMu..
ku rela ketentuan takdirku..

ajari aku untuk tabah
ajari aku untuk ikhlas
agar aku tak rebah
agar ujian ini tergalas

jangan biar ku mengalah
dibelenggu rasa putus asa
jangan biar ku merasa lelah
berhenti mengejar syurga

ya Rabb padamu kusandarkan segala rasa
moga tabah bersamaku sentiasa
mengharungi dunia penuh pancaroba
demi mengecapi bahagia di sana


..Ramadhan..

MUKMIN yang taat kepada perintah Allah sentiasa bergembira dan merindukan kehadiran Ramadan, bulan agung penuh barkah dan kerahmatan.

Mereka yang masih dipanjangkan usia hingga bersua dengan Ramadan kali ini, sewajarnya bersyukur. Ia adalah tanda Allah masih memberi peluang untuk mereka memperbaiki diri, memperbanyak dan menambah bekalan berupa amal soleh buat persiapan menuju alam baqa.

Kesempatan yang sangat bernilai ini, sewajarnya direbut, sekali gus berazam untuk melaksanakan puasa dengan sebaik-baiknya.

Ramadan menurut istilah Arab bererti terlampau panas. Mengikut sejarah, sewaktu ingin meminda nama bulan daripada bahasa lama kepada yang baru, bangsa Arab menamakannya mengikut suasana/keadaan yang berlaku pada sesuatu masa tertentu.

Kebetulan suasana waktu itu terlalu panas, maka dinamakan Ramadan. Dapat juga difahami bahawa dengan makna ‘terlalu panas’ itu, maka Ramadan dapat membakar segala dosa orang mukmin menerusi pelbagai ibadat yang dilaksanakan dengan penuh ikhlas seperti berpuasa dan solat Tarawih.

Nabi Muhammad bersabda maksudnya: “Sesiapa berpuasa pada Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, diampunkan dosanya yang telah lalu.”(Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad).

Alangkah ruginya jika kebanyakan umat Islam mensia-siakan atau tidak memanfaatkan kedatangan Ramadan yang sebentar itu dengan kerja kebajikan. Perkara ini kerana pada bulan inilah Allah memberi banyak keistimewaan iaitu berupa ganjaran pahala berganda bagi setiap amalan baik yang dikerjakan. Ia tidak dikurniakan Allah pada bulan lain.

Dalam hal ini, Rasulullah bersabda :“Sekiranya manusia mengetahui kebajikan yang terkandung dalam Ramadan itu, tentulah mereka mengharap-harap supaya Ramadan berlaku sepanjang tahun.” (Hadis riwayat Ibnu Abid Dunya).

Ramadan hadir membawa rahmat serta maghfirah (keampunan) Allah. Allah akan mengurniakan pahala yang berlipat ganda bagi setiap ibadat wajib yang dilakukan pada Ramadan. Satu ibadat wajib pada Ramadan menyamai 70 ibadat wajib di luar Ramadan, manakala ibadat sunat akan mempunyai nilai yang sama dengan ibadat wajib apabila dilakukan dalam Ramadan. Malah, segala bentuk kebajikan sekecil dan seringan mana pun, jika dilakukan dengan ikhlas pada Ramadan mengandung nilai ibadat.

Peluang umat Islam mengaut ganjaran pahala yang Allah tawarkan sangat terbuka luas melalui pelaksanaan pelbagai ibadat yang menjanjikan pahala berganda. Ini seperti membaca dan bertadarus al-Quran, berzikir, bersedekah, beriktikaf, berselawat, solat Tarawih serta ibadat sunat lain, selain solat fardu.

Ramadan adalah bulan yang dimakbulkan doa, bulan Allah memberi pengampunan, bulan penyucian diri, malah tidur dan tarikan nafas seorang mukmin diberi pahala ibadat.

Berdasarkan beberapa penjelasan hadis, dapat disimpulkan bahawa Ramadan adalah bulan ibadat iaitu bulan yang pada satu sisi mampu memperbanyak pelbagai nilai positif atau pahala. Pada sisi lain mampu pula menghanguskan pelbagai nilai negatif atau dosa.

Pengumpulan pahala secara besar-besaran seiring dengan penghapusan dosa itu, dihasilkan menerusi pelbagai bentuk ibadat dan amalan soleh, baik yang berbentuk wajib mahupun sunat.

Dua ibadat yang menjadi inti amaliah Ramadan ialah puasa dan solat Tarawih. Dua jenis ibadat itu mampu menawarkan kedua-dua sisi di atas iaitu pengumpulan pahala dan penghapusan atau pembakaran dosa.

Oleh kerana puasa dan solat Tarawih adalah ibadat istimewa pada Ramadan, maka apabila ia dilakukan dengan sempurna dan ikhlas, seseorang itu akan meraih ganjaran pahala berlipat ganda. Ternyata pada masa sama, hasil pelaksanaan puasa dan ibadah Tarawih, sekali gus juga menghapuskan dosa

Perkara itu sesuai dengan sabda Nabi bermaksud: "Ramadan adalah bulan yang Allah telah memfardukan atasmu berpuasa dalamnya, dan aku telah mensunahkan bagimu berdiri dan beribadah pada malamnya. Barang siapa berpuasa dan bersolat lail (Tarawih) kerana iman dan kerana mengharapkan Allah, nescaya dia keluar daripada dosanya, bagaikan bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya.”(Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah daripada Abu Hurairah).

sumber :
berita harian.

Sunday 29 July 2012

..Insaflah Wahai Diri..


Lemahnya diri ini

Baru diuji sedikit

Sudah rebah tak mampu berdiri

Lemahnya diri ini

Baru saja bayu dunia menyapa pipi

Sudah melayang tak sedarkan diri

Lemahnya diri ini

Baru sedikt kejayaan dikecapi

Sudah lupa pada yang memberi

Lemahnya diri ini

Baru sedikit dilukai Sudah menangis meratapi

Hingga seruan jihad belum mampu dijalani

Lemahnya diri ini

Baru sedikit kebaikan dikenang

Riak dan ujub bersorak riang

Lemahnya diri ini

Biar sudah tak terhitung anugerah Ilahi

Tapi masih lupa mensyukuri

Lemahnya diri ini

Sering leka dengan duniawi

Dan terabai tuntutan ulkhrawi

Lemahnya diri ini

Terkejar-kejar yang tak pasti

Leka dibuai syaitan musuh yang mendekati

Lemahnya diri ini

Asyik ketawa tak kering gusi

Lupa menangis mengingati MATI…

Ya Allah… Lemahnya diri ini..

ku pohon kekuatan daripadaMu..

Tuntunlah langkahku..

Biar hanya mampu merangkak..

Itu pasti lebih baik daripada terus rebah dalam kaku..

Berikan aku peluang Merentasi jalan yang Engkau redhai..

Ampunilah kekhilafan semalam atas kejahilan ku mengenal makna Kasih sayangMu...




"Tuhan dakaplah erat2 diriku agar aku tidak pernah meninggalkanMu walaupun ditinggalkan sekelian makhluk, sertailah setiap langkahku agar aku sentiasa dituntun ke arah jalanMu walaupun kembaraku ditaburi dengan duri2 ujian yg menyakitkan, peliharalah diriku kerana engkaulah sebaik2 pemelihara"

Saturday 23 June 2012

...Aku Bukan Pengemis..

Seorang pemuda masuk ke dalam sebuah restoran, lalu memesan makanan. Tidak lama kemudian, pelayan restoran pun menghantarkan pesanannya. Ketika pemuda itu hendak menikmati makanannya, datanglah seorang  kanak-kanak lelaki menjajakan kuih padanya, "Bang..mahu beli kuih, bang ?" Dengan ramah pemuda yang sedang makan itu menjawab "Tidak, saya sedang makan". 

kanak-kanak tersebut tidak berputus asa dengan cubaan pertama. Dia menunggu sehingga pemuda itu selesai menjamu selera, lalu ditawarkan lagi kuih dagangannya, "Bang, mahu beli kuih, bang ?" tawarnya.  Lalu pemuda tersebut menjawab, "Tidak dik, saya sudah kenyang." 

Kemudian pemuda itu berjalan menuju kaunter untuk membuat bayaran dan beranjak pergi dari restoran tersebut. Si anak kecil penjaja kuih itu terus mengikuti pemuda tadi. Sudah hampir seharian dia menjajakan kuih buatan ibunya. Namun tiada lagi pembeli. Walaupun demikian dia tidak mahu berputus asa, dan terus cuba menawarkan kuih pada pemuda itu. Dia hanya mahu membantu ibunya, menyambung kehidupan mereka yang serba berkekurangan. Jika dia pulang tanpa hasil jualan, pasti ibunya kan berasa sedih.

Melihat pemuda itu keluar dari restora, anak kecil penjaja kuih itu menawarkan kuih dagangannya untuk kali yang ketiga, "Bang mahu beli kuih saya ?". Kali ini pemuda itu merasa serba salah untuk menolak. Lalu, dia mengeluarkan not RM 10 dari dompetnya dan diberikan pada anak kecil itu sebagai sedekah. Katanya, "Adik ambil duit ni, abang tak nak beli kuih, jadi anggap saja ini sedekah dari abang untuk adik ye..”

Anak kecil itu menerima wang pemberian pemuda tadi dan  memberikannya kepada seorang pengemis yang sedang meminta minta. Pemuda tadi merasa hairan dengan tindakan anak kecil itu lalu bertanya “kenapa adik berikan duit tu pada pada pengemis? duit tu abang bagi untuk adik…”

Anak kecil penjaja kuih senyum dan menjawab, "Saya sudah berjanji pada ibu untuk menjualkan kuih buatan ibu, bukan menjadi pengemis. Saya akan berasa bangga pulang ke rumah bertemu ibu kalau kuih buatan ibu habis terjual. Dan wang yang akan saya berikan kepada ibu nanti adalah hasil usaha jualan kuih.sebab ibu tidak suka saya menjadi pengemis". 

Pemuda itu kagum dengan kata-kata yang diucapkan oleh kanak-kanak itu, sungguh berbeza dengan kanak-kanak seusianya.  Akhirnya pemuda tersebut telah membeli semua kuih dagangan kanak-kanak tersebut. Bukan kerana simpati, tapi kerana prinsip yang dimiliki oleh anak itu. Biarpun dia masih kecil tapi tidak berputus asa dan tidak mengambil jalan mudah dengan meminta-minta. 


..Kisah 3 Pemuda..

Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu mendengar Rasulullah S.A.W bercerita bahawa dulu dikalangan Bani Israil ada tiga orang pemuda: sopak, botak dan buta. Allah S.W.T hendak menguji mereka, maka Allah mengutus seorang malaikat untuk datang kepada si sopak, lalu bertanya kepadanya: "Apakah yang anda inginkan?"

"Warna yang bagus dan kulit yang baik, kerana tiada yang mahu mendekatiku dengan rupa ini" jawabnya. Maka malaikat pun mengusap badan si sopak sehingga dengan izin Allah hilanglah penyakitnya dan kulitnya berubah menjadi sangat halus dan cantik. Kemudian Malaikat bertanya lagi "Harta kekayaan apakah yang engkau inginkan?"
"Unta," jawab si sopak.
Maka diberinya Unta betina yang sedang bunting sambil didoakan semoga Allah S.W.T memberkatinya.

Setelah itu, malaikat tersebut mendatangi si botak dan bertanya, "Apakah gerangan yang anda inginkan?"
"Rambut yang bagus," jawabnya. "Dan hilangkan botakku ini, kerana keadaanku ini sering menjadi bahan ejekan" jelas si botak.
Lalu malikat pun mengusap kepalanya dan dengan izin Allah rambutnya kembali tumbuh dengan cukup bagus. Dia kemudian ditanya lagi, "Kini harta kekayaan apa yang anda inginkan?"
"Lembu," jawab si botak.
Kemudian diberilah lembu betina yang sedang bunting sambil didoakan semoga Allah S.W.T memberkatinya.

Dan terakhir, malaikat datang pada si buta dan bertanya, "Apakah yang anda inginkan?"
"saya ingin sekiranya Allah mengembalikan penglihatanku, supaya aku dapat melihat segala sesuatu," jawabnya. Maka malaikat pun mengusap kedua matanya dan dengan izin Allah seketika itu juga ia dapat melihat kembali.
"Sekarang harta kekayaan apa yang engkau inginkan?"
"Kambing," jawabnya.
Ia kemudian diberi kambing betina yang sedang bunting.

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, dan bulan berganti bulan, serta tahun pun berganti tahun. Seiring itu pula haiwan-haiwan ternakan mereka bertiga bertambah semakin banyak. Hingga akhirnya masing-masing telah memiliki satu lembah unta, satu lembah lembu, dan satu lembah kambing.

Malaikat itu kemudian kembali datang pada pemuda yang dahulunya sopak. Kedatangannya kali ini, menyamar menyerupai keadaan si sopak suatu ketika dulu. Setelah sampai di tempat si sopak ia berkata, "aku ini orang miskin yang tiada tunggangan untuk meneruskan perjalanan dan kehilangan perhubungan. Maka tiada yang dapat menyampaikan aku pada tujuan, kecuali pertolongan Allah S.W.T serta ketulusanmu menghulurkan bantuan. aku mohon padamu, demi Allah yang memberimu warna dan kulit yang bagus serta kekayaan, agar memberiku satu unta agar dapat kuteruskan perjalananku ke tempat tujuanku".

Mendengar ucapan yang demikian, si sopak kemudian menjawab: "Hak-hak orang lain masih banyak."
"Aku seperti mengenalimu, bukankah kau dahulu sepertiku dan dibenci orang lagi miskin, namun setelah itu kau diberi kekayaan oleh Allah?" kata malaikat.
"Sungguh aku mewarisi harta kekayaan ini dari orang tuaku," jawabnya membantah.
"Jika kau berdusta, semoga Allah mengembalikanmu pada keadaan yang dulu," kata malaikat.

Setelah itu, malaikat tersebut datang pada orang yang dahulunya botak dengan menyamar menyerupai keadaannya ketika masih botak. Semasa tiba di tempat si botak, malaikat berkata padanya sebagaimana yang dikatakan kepada si sopak  tadi. Namun jawapan yang diberikan oleh si botak sama saja dengan si sopak tadi, sehingga malaikat mendoakan pula, "Jika engkau berdusta, semoga Allah mengembalikan engkau pada keadaanmu dahulu."

Terakhir, malaikat itu datang menemui si pemuda yang dulunya buta. Ia berkata, "Aku ini seorang miskin yang sedang dalam perjalan namun telah putus hubungan. Maka aku tidak akan dapat sampai ke tempat tujuanku kecuali dengan pertolongan Allah melalui perantaraan bantuanmu. Aku mohon demi Allah, Dia-lah yang telah mengembalikan penglihatanmu dan memberimu kekayaan, oleh itu, berilah aku seekor kambing untuk menjadi bekal perjalananku agar aku sampai pada tujuanku."

"Benar, dahulu aku seorang yang buta, kemudian Allah mengembalikan penglihatanku, lalu Allah memberiku harta kekayaan. Oleh itu, sekarang ambillah sesukamu. Demi Allah. Aku takkan keberatan dengan sesuatu yang engkau ambil kerana Allah."
Maka malaikat pun berkata: "Tahanlah hartamu. Kamu bertiga sebenarnya sedang diuji oleh Allah. Maka Allah pun ridha padamu dan murka pada dua orang teman itu." (hari Bukhari & Muslim).

Dari kisah ini dapat difahami bahawa kekayaan, kemiskinan, kesihatan, kesakitan dan sebagainya merupakan ujian dari Allah kepada hamba-Nya. Ramai dikalangan kita yang mampu tabah bila berhadapan dengan ujian kesakitan dan kemiskinan. Segala derita yang dialami membuatkan kita semakin dekat kepada-Nya. pergantungan kita juga semakin akrab pada-Nya. Namun bila diuji dengan kekayaan, kesihatan ramai yang tersungkur. menjadi bongkak, sombong serta lupa diri. Merasa tamak dengan dunia hingga lupa bahawa segala harta kekayaan dan kesihatan tubuhnya adalah hak milik Allah. Dengan yang demikian, bersama-samalah kita mengambil iktibar dari kisah ini. Semoga kita mampu menjadi hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa.